Monday, 12 December 2016

Kisah Benar | Saya Telah Diganggu Scammer! Anda Bagaimana?

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Alhamdulillah, segala pujian bagi Allah SWT kerana dengan perlindungan serta rahmat-Nya saya telah dilindungi daripada penipuan geng scammer. Memang telah kerap kali kita mendengar berita-berita tentang beribu-ribu orang telah menjadi mangsa scammer dan ianya telah melibatkan keriguan berbillion dolar di seluruh dunia.

Apakah yang dimaksudkan dengan Scammer? Kalau mengikut istilah daripada Cambridge Dictionary Online SCAMMER bermaksud : someone who makes money using illegal methods,especially by tricking people.

Ingin saya tegaskan bahawa anda perlu untuk melindungi dan mencegah diri sendiri daripada menjadi mangsa scammer kerana pihak berkuasa di negara kita iaitu Polis DiRaja Malaysia tidak akan mengambil apa-apa tindakan terhadap scammer walaupun kes telah dilaporkan melainkan ianya telah melibatkan kerugian kepada pemangsa. Pada pendapat peribadi saya, tiada gunanya lagi jika pihak berkuasa bertindak setelah kejadian berlaku kerana 'Nasi Sudah Menjadi Bubur'. Ya, memang benar saya tidak mengalami sebarang kerugian, namun membiarkan penjenayah terus menggunakan talian komunikasi yang sama dan bebas bertukar-tukar wajah profil dengan menggunakan gambar-gambar individu yang berlainan tanpa dicegah oleh pihak yang berkuasa merupakah sesuatu yang tidak wajar. Jenayah siber melalui kaedah scammer ini sudah menjadi suatu ancaman yang besar terhadap para peniaga online dan ianya telah melibatkan kerugian berjuta-juta ringgit di Malaysia. Tidak semua pengguna peka dan sensitif terhadap isu ini dan tidak mustahil setiap hari ada sahaja pengguna yang terpedaya dan tertipu dengan teknik dan tektik yang dilakukan oleh si scammer.


Sengaja saya kongsikan kisah benar yang terjadi kepada diri saya ini, mudah-mudahan rakan-rakan di alam maya saya menjadi lebih berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa kepada scammer ini. Kisahnya bermula begini ;

Pada 10hb Disember, 2016 lebih kurang jam 3.30 pagi saya telah menerima whatsapp daripada nombor +1 (614) 526-4408 bertanyakan tentang sebuah novel terpakai yang telah saya iklankan untuk dijual berjudul "Kasih Sedingin Salju" tentang harga dan kos penghantaran ke Kedah. Novel ini telah saya iklankan melalui laman Facebook dan Mudah.my dengan harga jualan sebanyak RM10 dan Caj Kurier sebanyak RM10.00 bagi Semenanjung Malaysia. Saya pun memberikan jawapan yang sama sepertimana yang diiklankan. Seterusnya senyap, tiada sebarang komunikasi sehingga pada jam kira-kira 6.40 petang, saya telah menerima whatsapp daripada individu yang sama bertanyakan hal yang sama dan saya pun menjawab maklumat yang sama. Selepas beberapa minit beliau meminta nombor akaun bank dan email saya untuk tujuan memasukkan pembayaran dan menghantar slip bayaran. Saya pun memberikan maklumat sepertimana yang diminta dan selang beberapa minit beliau menyatakan bahawa pembayaran telah dipindahkan ke akaun maybank saya (transfer) dan meminta saya semak email dan akaun. Apabila saya menyemak email, terdapat satu slip transfer order daripada Bank Of America berjumlah RM500.00 dan berstatus 'approved' but 'pending'. Saya turut menyemak akaun bank saya namun tiada sebarang transaksi tunai ataupun yang berstatus 'hold' yang telah masuk. Selang beberapa minit beliau telah memberitahu bahawa mengikut prosedur bank of america tidak boleh transfer wang berjumlah RM20 dan amaun minimum yang dibenarkan adalah sebanyak RM500. Justeru beliau meminta saya untuk membuat pengembalian 'Overpaid' sebanyak RM480 sekarang!, dengan alasan wang tersebut telah ditolak daripada akaun beliau dan amat memerlukan lebihan tersebut untuk membayar urusan lain. Saya menegaskan bahawa saya tidak boleh memulangkan 'lebihan' yang didakwa melainkan telah benar-benar dikreditkan kedalam akaun tersebut. Beliau pun membalas dengan mengatakan insya allah akan reflect RM500 ke dalam akaun saya dengan syarat saya memulangkan semula RM480 tersebut. Seterusnya beliau berterusan mengganggu saya setiap minit melalui whatsapp meminta-minta wang berkenaan. Saya cuba menghubungi beliau melalui panggilan, diangkat namun tidak dijawab, oleh itu suaranya tidak dapat didengari untuk dipastikan bangsa dan jantina pelakunya. Saya sangat pasti ini merupakan suatu teknik penipuan berdasarkan cerita-cerita yang saya pernah tonton sebelum ini daripada kisah-kisah jenayah online di televisyen negara jiran Singapura. Saya pun menulis satu whatsapp yang menyatakan bahawa saya sekarang dalam perjalanan ke Balai Polis untuk membuat laporan berkenaan transaksi ini dan jika benar-benar berlaku, saya bersedia memulangkan lebihan tersebut.


Saya memang benar-benar telah pergi membuat laporan polis di atas kejadian ini bagi tujuan sebagai 'covering' untuk diri saya. Sebagaimana yang saya telah nyatakan diawal-awal tadi, pihak polis hanya menerima laporan daripada saya namun tiada apa-apa tindakan yang dibuat terhadap scammer ini. Oleh itu berdasarkan apa yang berlaku, saya memutuskan untuk membuat tulisan ini di blog saya. Mudah-mudahan ianya boleh dibuat hebahan dan menjadi maklumat supaya pengguna dan peniaga online khasnya supaya mengambil tindakan proaktif bagi menyelamatkan dan mencegah diri kita sendiri daripada ancaman para scammer. Perniagaan online memang berisiko kerana penjual dan pembeli tidak bertemu secara bersemuka namun ini adalah ikhtiar juga dalam dunia perniagaan terkini dan sebab-sebab ini tidak akan menjatuhkan semangat atau inspirasi saya dan para sahabat yang lain untuk terus melakukan jualan secara online kerana ini merupakan suatu trend pada masa kini dan pasti menjadi keutamaan bagi cara berniaga di masa akan datang.

Sekian.


This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon

Technology