Sunday, 6 November 2016

Panduan Membuat Perancangan Kewangan - 8 Elemen Penting Untuk Di Analisa




Assalamu'alaikum dan Salam Sejahtera.

Apabila membicarakan tentang Pelan Perancangan Kewangan baik untuk individu mahupun bagi keluarga, terdapat sekurang-kurangnya 8 Elemen yang perlu diberikan penekanan oleh seseorang yang digelarkan sebagai Penasihat Kewangan kepada masyarakat bagi mengelakkan kekeliruan dan salah faham yang timbul akibat penerangan yang tidak tepat.

Saya mengatakan yang demikian adalah berdasarkan pengamatan dan pendengaran saya sendiri daripada sessi taklimat mahupun daripada penerangan secara 'bersemuka' oleh mereka-mereka yang memperkenalkan diri mereka sebagai seorang Penasihat Kewangan ataupun 'Financial Consultant'.

Adalah suatu kesilapan besar apabila kita menggunakan gelaran sebagai Penasihat Kewangan tetapi di akhirnya kita menjurus untuk menjual produk berkaitan dengan Perlindungan Insurans/Takaful ataupun Unit Amanah ataupun Surat Wasiat tanpa memberi pilihan kepada 'Prospek' untuk berfikir dan menentukan keperluan utama dalam perancangan kewangan mereka. Kalau begitu jadinya, adalah tidak layak mereka-mereka ini menggunakan gelaran sebagai 'Penasihat Kewangan' sedangkan tindak dan tanduk mereka lebih bersifat sebagai seorang 'Ejen'. Tugas 'Ejen' adalah untuk memperkenalkan, mempromosikan, memasarkan dan menjual produk atau perkhidmatan serta bertindak sebagai pengantara diantara pelanggan dengan syarikat penyedia produk atau perkhidmatan sedangkan seseorang 'Penasihat Kewangan' bertanggungjawab untuk membuat penerangan tentang elemen-elemen yang terdapat dalam membuat perancangan kewangan, melakukan analisa terhadap keperluan atau matlamat kewangan pelanggan, menasihati pelanggan terhadap tindakan-tindakan yang perlu dibuat mengikut tertib dan faktor usia serta bertindak mengikut keperluan pelanggan berdasarkan faktor Mahu, Perlu dan Mampu.


Sebagai seorang Penasihat Kewangan, seseorang itu perlu mempunyai dan menyampaikan Ilmu yang sangat luas dalam membuat perancangan kewangan dan tidak boleh tidak, sekurang-kurangnya terdapat 8 elemen penting dalam merancang kewangan yang perlu disampaikan dengan jelas merangkumi;
  1. Membuat Analisa Kewangan dan Penerangan Aliran Tunai
  2. Membuat Analisa Matlamat Kewangan untuk jangkamasa pendek, jangkamasa sederhana dan jangkamasa panjang.
  3. Penerangan tentang Pengurusan Risiko yang merangkumi keperluan terhadap perlindungan Takaful/Insurans
  4. Penerangan terhadap Perancangan Pelaburan merangkumi Pelan Simpanan dan Pelaburan dengan menyesuaikan kepada matlamat kewangan individu seperti penyedian tabung kecemasan, tabung pendidikan tinggi untuk anak-anak, tabung untuk menunaikan fardhu haji, tabung untuk melunaskan hutang rumah dan kenderaan dan lain-lain. Tujuan menggalakkan simpanan dan pelaburan adalah untuk melawan inflasi dan membiarkan wang bekerka untuk kita.
  5. Penerangan terhadap Perancangan Untuk Persaraan merangkumi penyedian tabung yang mencukupi untuk saraan hidup pada usia bersara dan kos-kos berkaitan dengan perubatan.
  6. Penerangan terhadap Perancangan Zakat dan Cukai bagi menyediakan peruntukan kewangan bagi tujuan tersebut.
  7. Perancangan Pewarisan Harta membabitkan pengagihan aset-aset, hutang-hutang dan harta sepencarian kepada pasangan dan dan waris-waris yang berhak melalui penggunaan instrumen seperti penulisan Surat Wasiat, Hibah ataupun Amanah.
  8. Perancangan Wakaf dan Sedekah yang membabitkan kepada menyediakan peruntukan dan program kewangan bagi melaksanakan ibadah-ibadah tersebut bagi tujuan mendapatkan pahala yang berpanjangan untuk kegunaan hari akhirat.

Semoga apa yang saya zahirkan melalui tulisan ini sedikit sebanyak dapat meleraikan salah faham masyarakat terhadap maksud merancang kewangan dan mudah-mudahan lebih ramai ejen-ejen dapat meningkatkan pengetahuan dan penampilan mereka sebagai seorang Penasihat Kewangan yang sebenar dan tulen.





EmoticonEmoticon

Technology